Monday, May 19, 2008

Fitnah, Fitrah dan Anugerah


"Hati remaja selalu berkata, apakah salah kami
bercinta? rasa cinta memang tidak salah. Ia adalah
fitrah semulajadi (instinct) yang ALLAH swt kurniakan
kepada setiap manusia. Ingin bercinta dan dicintai
adalah instinct. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti
jasad perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah
fitrah, maka tentulah tidak salah merasainya.

Namun ALLAH tidak kurniakan cinta secara polos begitu
saja. Dia juga pencipta peraturan cinta demi menjaga
kemurniannya. Peraturan inilah yang kerap dilanggar.
rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku
sewaktu menjalin hubungan cinta. Di sinilah selalunya
remaja terjebak. Cinta terlarang adalah cinta yang
menafikan peraturan yang telah ditetapkan oleh ALLAH
swt. Ketika itulah FITRAH telah menjadi FITNAH. Bila
kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi
mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan
kemusnahan.

Mengapakah perlu ada peraturan cinta? Jawabnya kerana
ALLAH swt mencintai manusia hambaNYA. Allah inginkan
keselamatan dan kesejahteraan buat manusia
melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya. Keinginan
tanpa peraturan akan menyebabkan banyak kemusnahan.
Begitulah hubungan cinta yang terlarang akan membawa
banyak implikasi negatif dalam kehidupan. Pengalaman
sudah pun mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain
cinta, nanti terbakar diri. Sudah banyak tragedi yang
berlaku akibat hubungan cinta yang membelakangkan
Tuhan!

Hubungan cinta jangan dicemari oleh sebarang tindakan
menyalahi syariat. Lebih banyak perlanggaran hukum
berlaku, lebih tinggilah risiko kemusnahan yang akan berlaku. Jangan kuat tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi dengan pelbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai dan melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta.

Maka butalah mata hati dan mata kepala sehingga
seseorang akan menjadi hamba kepada sesiapa yang
dicintainya. Ketika itu hati tidak nampak yang lain kecuali apa yang dicintainya. Lupalah diri pada pencipta cinta kerana terlalu asyik dengan cinta yang dikurniakaNya. Bagaimanakah pula perasaan kita agaknya jika seseorang itu begitu leka dengan hadiah yang diberikan hingga terlupa bersalaman dan berterima kasih dengan pemberinya?

Oleh itu, usahlah bercinta sekadar untuk bersuka-suka.
Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat
dalam bercinta sekadar untuk bersuka-suka. Lebih buruk lagi janganlah ada niat-niat yang jahat dalam bercinta sama ada didorong oleh hasutan nafsu atau bujukan syaitan.

Jika tidak ada niat untuk berkahwin, cinta sudah pasti
bukan kerana ALLAH. Hakikatnya cinta itu adalah cinta
terlarang yang akan membawa kemusnahan pada sebelah
pihak atau kedua-duanya sekali. Cinta jenis ini
seburuk namanya - Cinta Monyet!

Hendaklah dipastikan semasa menjalin hubungan cinta
tidak ada hukum ALLAH yang dilanggar. Antaranya, tidak
ada pergaulan bebas, tidak ada pendedahan aurat, tidak
ada pengabaian perkara asas seperti meninggalkan
sembahyang, puasa dan lain-lain. Hubungan cinta jangan
sampai terjerumus dalam perkara yang melalaikan dan
merugikan. Maka, remaja tidak seharusnya mengeluh,
"Cinta apa namanya ini jika tiada dating, tiada
perbualan telefon maraton..atau bahasa remajanya
'bergayut', tiada surat cinta, tiada sentuhan tangan,
tanpa kerlingan dan senyuman?”

Yakinlah, tidak ada keindahan dengan melanggar
peraturan Tuhan. Putus cinta dan kecewa bercinta yang
begitu dominan dalam kehidupan remaja adalah
disebabkan racun-racun cinta yang disangka baja ini.
Justeru banyaklah cinta yang gagal disambung di alam
perkahwinan dan lebih banyak yang putus tanpa sempat
menempuh perkahwinan.

Allah swt Maha Mengetahui dan Maha Menyayangi. Segala
peraturanNya buat dengan rasa cinta terhadap hambaNYA.
Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu. Dan cinta itu
pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk
bercinta lagi dengan seribu keindahannya. Bahkan jika
diizinkan oleh takdirNya, cinta itu akan terus bersambung ke alam akhirat. Suami yang soleh dan isteri yang solehah akan bercinta lagi di syurga-tempat pertama yang melahirkan cinta! Ketika itulah FITRAH akan menjadi ANUGERAH!

Sumber Dari Ukwah.com

No comments: